Ibadah Haji Membentuk Jati Diri Muslim : Pena Hijau

Ibadah Haji Membentuk Jati Diri Muslim

20250526 hadis ketawa 01
Larangan Ketawa Yang Melampau
26 May 2025
20250612 palestin israel
Peranan Umat Islam Dalam Isu Palestin
12 Jun 2025
20250526 hadis ketawa 01
Larangan Ketawa Yang Melampau
26 May 2025
20250612 palestin israel
Peranan Umat Islam Dalam Isu Palestin
12 Jun 2025
20240530 ibadat haji kaabah rukun islam
icon follow us

Ibadah Haji Membentuk Jati Diri Muslim | Allah Subhanahu Wa Ta’ala berfirman dalam Surah Al Hajj ayat 27 :

وَأَذِّن فِى ٱلنَّاسِ بِٱلْحَجِّ يَأْتُوكَ رِجَالًۭا وَعَلَىٰ كُلِّ ضَامِرٍۢ يَأْتِينَ مِن كُلِّ فَجٍّ عَمِيقٍۢ ٢٧

“Dan serulah umat manusia untuk Haji, mereka akan datang ke rumah Tuhanmu dengan berjalan kaki dan dengan menunggang berjenis-jenis unta, yang datangnya dari berbagai jalan dan ceruk rantau yang jauh”

Pada saat ini umat Islam seluruh dunia yang dipilih menjadi tetamu Allah sedang berhimpun dan berkumpul di Arafah yang merupakan  kemuncak ibadah haji bagi memenuhi rukun Islam yang kelima. Hari Arafah merupakan hari yang paling afdhal dalam Islam sebagaimana
sabda Rasulullah Shollallahu ‘Alaihi Wa Salam :

أفضل الأيام يوم عرفة

“Hari yang paling afdhal adalah hari Arafah”

(Hadis Riwayat Ibn Hibban, No. 3853)

Kita perlu bersyukur kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala di atas nikmat dan peluang yang diberikanNya kepada kita untuk mengecapi nikmat beribadah pada hari ini. Allah Subhanahu Wa Ta’ala telah mengisytiharkan pembebasan besar-besaran akan hambaNya dari azab nerakaNya dan Dia juga telah memberikan tawaran yang besar berupa penghapusan dosa setahun sebelum dan selepasnya terutama bagi mereka yang berpuasa pada hari ini. Rasulullah Shollallahu ‘Alaihi Wa Salam bersabda apabila ditanya tentang puasa pada hari Arafah :

يُكَفِّرُ السَّنَةَ الْمَاضِيَةَ وَالْبَاقِيَةَ

“Puasa pada hari tersebut akan menghapuskan dosa setahun yang lalu dan akan datang”

(Hadis Riwayat Muslim, No. 1162)

Bertempat di Lembah Uranah iaitu di Padang Arafah inilah, Junjungan Besar kita Nabi Muhammad Shollallahu ‘Alaihi Wa Salam telah menyampaikan khutbah Hajjatul Wada’ yang mengandungi wasiat agung untuk seluruh umat. Antara intipati Khutbah Baginda adalah :

  1. Peliharalah jiwa, harta dan maruah umat Islam sebagaimana kita memelihara Kemuliaan Zulhijjah dan Tanah Haram Mekah
  2. Berwaspada dengan halal dan haram dalam menguruskan harta dan sentiasa menjadi orang yang berakhlak mulia
  3. Pelihara hak suami isteri dan amalkan mu’asyarah (bergaul) dengan lemah lembut
  4. Sentiasa melakukan ibadah dan menjaga setiap amalan yang diwajibkan di dalam rukun Islam
  5. Kelebihan manusia hanyalah berdasarkan taqwa dan sentiasa berusaha untuk berada dalam jalan yang benar (taqwa)
  6. Sentiasa berpegang teguh dengan Al-Quran dan Sunnah dan mengikuti segala ajaran yang terkandung di dalamnya

Pada hari esok 10 Zulhijjah, kita umat Islam seluruh dunia akan merayakan Aidiladha yang merupakan satu hari penuh dengan makna dan pengajaran terutamanya dalam menghayati perjuangan dan pengorbanan besar Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail ‘Alaihima Salam.

Kisah mereka bukan hanya dilihat sebagai simbolik, tetapi contoh yang hebat puncak ketaatan dan keikhlasan yang mutlak kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Bayangkanlah, seorang bapa (iaitu Nabi Ibrahim ‘Alaihi Salam) yang sudah lama menanti saat untuk dikurniakan zuriat, tiba-tiba setelah mendapat zuriat, diperintahkan pula oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala untuk menyembelih anaknya itu Nabi Ismail ‘Alaihi Salam. Baginda Nabi Ismail ‘Alaihi Salam pula tidak melawan, bahkan redha menerima perintah Allah Subhanahu Wa Ta’ala dengan menyatakan kesediaannya dengan sabar.

Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala dalam surah As-Saffat ayat ke-102 :

قَالَ يَـٰٓأَبَتِ ٱفْعَلْ مَا تُؤْمَرُ ۖ سَتَجِدُنِىٓ إِن شَآءَ ٱللَّهُ مِنَ ٱلصَّـٰبِرِينَ

“Anaknya menjawab: Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya-Allah, ayah akan dapati daku dari orang yang sabar”

Inilah sejarah dan asal-usul kepada berlakunya pensyariatan ibadah korban yang kita lakukan setiap tahun. Namun, ia bukan sekadar sembelihan bahkan menjadi simbolik bentuk perintah sebagai ujian terhadap iman kita dalam mengorbankan sesuatu yang kita sayangi demi mematuhi perintah Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Adakah kita sanggup mengorbankan apa yang menjadi kesayangan dan kecintaan kita terhadap perkara yang diingini nafsu kita demi agama dan syariat?

Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala dalam Surah al-Hajj, ayat ke-37 :

لَن يَنَالَ ٱللَّهَ لُحُومُهَا وَلَا دِمَآؤُهَا وَلَـٰكِن يَنَالُهُ ٱلتَّقْوَىٰ مِنكُمْ ۚ كَذَٰلِكَ سَخَّرَهَا لَكُمْ لِتُكَبِّرُوا۟ ٱللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَىٰكُمْ ۗ وَبَشِّرِ ٱلْمُحْسِنِينَ ٣٧

“Daging dan darah binatang korban itu tidak akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah ketaqwaan kamu. Demikianlah Ia memudahkan binatang itu bagimu supaya kamu mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya kepadamu. Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang yang berusaha supaya baik amalnya”

Kesimpulannya, ibadah haji mengajar seluruh umat Islam supaya kembali kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala yang bukan sahaja bagi mereka para Jemaah haji, bahkan ianya juga melibatkan umat isIam yang lain di tanah air masing-masing seluruh pelusuk dunia. Ianya adalah manifestasi ibadah dalam pembinaan jiwa, pengukuhan iman, pengorbanan dan keikhlasan serta penyucian diri daripada kesilapan dosa dan maksiat kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala atau mudah difahami ianya satu nilai pembinaan jati diri dan modal insan bagi individu muslim yang beriman kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala.

alkhudhri
alkhudhri
Semoga artikel ini dapat memberi info kepada pembaca. Jangan malu-malu tekan butang Love ❤️ di atas, bagi Reaction 😄, Share 🔄 dengan kawan-kawan dan tinggalkan komen 💬 kat bawah ya! Nak tahu pendapat anda atau mungkin ada tips tambahan yang boleh dikongsikan? Jom sembang kat ruangan komen. Terima Kasih 😊
Ibadah Haji Membentuk Jati Diri Muslim
This website uses cookies to improve your experience. By using this website you agree to our Data Protection Policy.
Read more