Kewajipan Mencari Yang Halal
16 Aug 2024Akhlak Nabi SAW Pedoman Ummah
12 Sep 2024Tuntutan Mencintai Negara | Setiap tahun pada tanggal 31 Ogos, negara kita Malaysia akan menyambut ulang tahun hari kemerdekaan. Sambutan pada tahun ini menandakan negara kita telah merdeka selama 67 tahun.
Jika disoroti, kemerdekaan negara yang dicapai pada tahun 1957 adalah sebuah perjuangan yang panjang dan penuh berliku. Generasi terdahulu telah mengorbankan jiwa dan raga mereka bagi mempertahankan tanah air daripada penjajahan kuasa asing. Perjuangan mereka juga bertujuan agar agama Islam terus terpelihara di Malaysia.
Hasil pengorbanan generasi terdahulu, Alhamdulillah rakyat Malaysia pada hari ini dapat hidup dengan aman dan damai di tanah air sendiri. Umat Islam pula bebas melaksanakan tuntutan Rukun Iman dan Rukun Islam tanpa perlu berasa takut.
Apa yang pasti, pengorbanan yang ditunjukkan itu adalah bukti kecintaan mereka terhadap negara sekaligus kecintaan terhadap agama. Mereka sanggup berkorban apa sahaja demi negara dan agama tercinta. Sikap ini selari dengan pepatah Arab yang masyhur yang bermaksud : “Cintakan negara (tanah air) salah satu daripada tanda keimanan“.
Mencintai negara adalah sebahagian tuntutan bagi umat Islam. Sirah daripada Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa sallam sendiri menunjukkan bahawa baginda sangat mencintai bumi Makkah, yang merupakan tanah tumpah darah tempat kelahiran dan tempat baginda membesar.
Buktinya ketika baginda diperintahkan untuk berhijrah meninggalkan Makkah, apabila sampai di sempadan, Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa sallam berpaling menoleh ke Makkah lantas bersabda (yang bermaksud) :
“Tidak aku temui negeri yang lebih baik daripada engkau (Makkah), dan tiada negeri yang lebih aku cintai daripada engkau. Kalau bukan kerana kaumku (Quraisy) menghalauku keluar daripada Makkah, tidak akan aku tinggalkan negeri ini”
(Hadis riwayat al-Tirmizi)
Setelah Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa sallam menetap di Madinah, baginda menumpahkan sepenuh jiwa raga bagi membangunkan dan mempertahankan Madinah. Perasaan cinta terhadap bumi Madinah turut tersemai erat dalam sanubari baginda sebagaimana doa baginda yang bermaksud :
“Wahai Tuhan kami, lahirkanlah rasa cinta kami kepada Madinah seperti mana kami mencintai Makkah, atau lebih”
(Hadis riwayat al-Bukhari)
Selain itu, diceritakan oleh Anas bin Malik rodhiallahu ‘anhu, bahawa
Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa sallam apabila pulang dari perjalanan yang jauh, ketika hampir dengan Madinah, baginda menggesa untanya supaya berjalan cepat seakan-akan rindu dan ingin sampai secepat mungkin ke Madinah.
(Hadis riwayat al-Bukhari)
Berdasarkan sirah Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa sallam ini, menunjukkan bahawa mencintai negara merupakan perkara yang dituntut dalam agama Islam. Justeru, umat Islam mesti mencintai negara mereka sendiri sebagaimana sikap yang ditunjukkan oleh Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa sallam tersebut.
Dalam konteks tuntutan mencintai negara pada hari ini, marilah kita menginsafi bahawa kemerdekaan negara yang kita perolehi adalah anugerah Allah subhanahu wa ta’ala yang wajib disyukuri dan dipelihara. Pelbagai nikmat telah dirasai hasil dari kemerdekaan tersebut.
Sebagai tanda kesyukuran, marilah kita bersama-sama berganding bahu memelihara dan seterusnya mempertahankan negara Malaysia yang tercinta ini daripada sebarang perkara yang boleh menggugat kedaulatan, keutuhan dan keselamatan negara. Firman Allah subhanahu wa ta’ala dalam surah Al-Anfal ayat 60 :
وَأَعِدُّوا۟ لَهُم مَّا ٱسْتَطَعْتُم مِّن قُوَّةٍۢ وَمِن رِّبَاطِ ٱلْخَيْلِ تُرْهِبُونَ بِهِۦ عَدُوَّ ٱللَّهِ وَعَدُوَّكُمْ وَءَاخَرِينَ مِن دُونِهِمْ لَا تَعْلَمُونَهُمُ ٱللَّهُ يَعْلَمُهُمْ ۚ وَمَا تُنفِقُوا۟ مِن شَىْءٍۢ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ يُوَفَّ إِلَيْكُمْ وَأَنتُمْ لَا تُظْلَمُونَ ٦٠
“Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya, sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya”
Dalam konteks semasa, musuh negara Islam pada hari ini datang dalam dua bentuk penjajahan :
- Penjajahan berbentuk geografi, sebagaimana yang masih berlaku di Palestin sehingga kini. Rejim zionis terus-menerus membunuh dan mengusir umat Islam.
- Penjajahan secara halus iaitu penjajahan pemikiran. Penjajahan ini sangat berbahaya kerana ia tidak begitu disedari oleh kebanyakan umat Islam. Barat telah bertindak memesongkan akidah umat Islam melalui ideologi moden seumpama fahaman liberal.
Sebagai rumusannya, umat Islam di Malaysia yang berikrar mencintai negara wajib mempertahankan kemerdekaan negara daripada sebarang bentuk penjajahan. Ini kerana, mempertahankan negara merupakan antara tanda bagi orang beriman yang cintakan negaranya.
Justeru, sengaja membiarkan atau tidak mempedulikan nasib negara adalah termasuk dalam kalangan orang yang tidak mensyukuri nikmat kemerdekaan. Umat Islam juga mesti bersatu-padu dan membuat persediaan yang rapi bagi menghadapi cabaran semasa.