
Berusaha Mendapatkan Husnul Khatimah
8 May 2025
Anak-Anak Amanah Allah
23 May 2025

Lambaian Haji Menggamit Kerinduan | Saban tahun, kita menyaksikan pemergian saudara mara dan sahabat handai kita ke dua kota Suci Makkah dan Madinah bagi mengerjakan rukun Islam yang kelima. Ibadat haji diwajibkan kepada mereka yang mampu dalam mengadakan perbelanjaan pergi balik ke tanah suci dalam keadaan sihat fizikal dan rohani.
Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala dalam surah ali- Imran ayat 97 :
وَلِلَّهِ عَلَى ٱلنَّاسِ حِجُّ ٱلْبَيْتِ مَنِ ٱسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًۭا ۚ وَمَن كَفَرَ فَإِنَّ ٱللَّهَ غَنِىٌّ عَنِ ٱلْعَـٰلَمِينَ ٩٧
“Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah, iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. Dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) dari sekalian makhluk”
Setiap hati dan jiwa orang Islam akan merasai keinginan yang kuat untuk melaksanakan ibadah Haji. Manakala mereka yang telah melaksanakannya dengan ikhlas dan jayanya, pasti akan merindui pemergian untuk kali seterusnya.
Pada tahun 1446 H / 2025M ini, seramai 31,600 jemaah haji Malaysia yang bakal menunaikan ibadat haji yang mulia itu bersama jutaan masyarakat Islam di kota suci Makkah al Mukarramah.
Untuk itu, para jemaah yang terpilih dinasihati agar :
- Menyemak jadual penerbangan, supaya dipatuhi tarikh dan waktu lapor diri,
- Sentiasa menjaga kesihatan sebelum pergi, semasa berada di sana dan ketika pulang darinya,
- Menghormati peraturan pihak berkuasa Arab Saudi, dan
- Memenuhi masa dengan amalan ibadah sepanjang berada di Tanah Suci
Ilmu bagi menunaikan sesuatu ibadah termasuk ibadah haji dan umrah adalah kewajipan yang dituntut kepada semua umat Islam. Tanpa ilmu, sesuatu amalan mungkin tidak diterima oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala apabila dilakukan tidak mengikut kaedah dan syarat-syaratnya.
Justeru, disarankan kepada semua supaya menghadiri pengajian ilmu agama atau kursus yang berkaitan, agar amalan kita menepati kehendak Allah Subhanahu Wa Ta’ala dan Rasul Shollallahu ‘Alaihi Wa Sallam.
Selain itu, kepada mereka yang belum berkesempatan menunaikan rukun Islam kelima tersebut, disarankan agar :
- Pasangkan niat dan tekad yang kuat untuk melaksanakan ibadah haji dalam usia muda dan masih bertenaga.
- Membuat persiapan dengan mendaftar dan membuat tabungan di Tabung Haji,
- Menghadiri kursus-kursus haji yang diadakan setiap tahun
- Sentiasa menjaga kesihatan fizikal dan mental.
Dalam menyemai niat dan harapan diri untuk melaksanakan haji pada kesempatan yang bakal datang, marilah kita menghayati fadilat ibadah umrah dan haji yang mulia tersebut menerusi sabda Rasulullah Shollallahu ‘Alaihi Wa Sallam yang menjelaskan balasan bagi mereka yang menunaikannya dengan penuh ketaqwaan iaitu :
الْعُمْرَةُ إِلَى الْعُمْرَةِ كَفَّارَةٌ لِمَا بَيْنَهُمَا، وَالْحَجُّ الْمَبْرُورُ لَيْسَ لَهُ جَزَاءٌ إِلَّا الْجَنَّةُ
“Umrah kepada umrah adalah penghapus dosa di antara keduanya, dan haji yang mabrur tidak ada balasan baginya kecuali syurga”
Di saat seseorang berada di tanah suci untuk beribadah dengan ikhlas dan penuh keimanan, Allah Subhanahu Wa Ta’ala membuka baginya pintu pengampunan dosa dan anugerah redaNya. Sabda Nabi Shollallahu ‘Alaihi Wa Sallam :
الْحُجَّاجُ وَالْعُمَّارُ وَفْدُ اللَّهِ، إِنْ دَعَوْهُ أَجَابَهُمْ، وَإِنِ اسْتَغْفَرُوهُ غَفَرَ لَهُمْ
“Jemaah haji dan umrah adalah tetamu Allah, bila mereka berdoa, Allah akan memenuhi permintaan mereka dan bila mereka meminta keampunanNya, Allah pasti mengampuni mereka”
(Riwayat Ibnu Majah, No. 2892)
Marilah kita berdoa agar para jemaah haji diberi kemudahan dalam melaksanakan amal ibadah dan dikurniakan haji yang mabrur. Jangan lupa juga untuk turut berdoa mudah-mudahan mereka yang belum pernah pergi juga akan terpilih sebagai dhuyufur Rahman pada tahun-tahun mendatang.