Lapan tempat menarik di Melaka untuk dikunjungi
16 Aug 2020Cabaran memartabatkan Bahasa Melayu
27 Aug 2020Bercuti ke Pulau – Pulau Besar, Melaka | Tahun 2020 sudah melepasi pertengahannya. Setelah melalui banyak dugaan dan cabaran akibat penularan pandemik COVID-19, tibalah waktunya untuk anda mengambil peluang merehatkan minda daripada kerja-kerja seharian serta memenuhi permintaan anak-anak yang telah lama berkurung di rumah. Mungkin juga percutian boleh mengembalikan kesegaran minda dan pandangan kepada perkara yang lebih baik dalam hidup.
Bercuti ke pulau-pulau adalah idea yang baik dan boleh membawa anda jauh daripada kesesakan kota. Bagi mengurangkan kos, anda boleh mencari pulau yang berhampiran dengan tempat tinggal. Sekiranya anda di negeri Melaka, boleh berkunjung ke Pulau Besar yang hanya mengambil masa 45 minit dari jeti. Sekiranya di Mersing, boleh ke Pulau Tioman atau di Terengganu ke Pulau Perhentian dan sebagainya.
Pulau Besar di Melaka terkenal kerana lagendanya. Ia terletak di Selat Melaka dan tiga batu nautika dari Banda Hilir. Anda boleh mengunjunginya dengan menaiki feri dari Jeti Anjung Batu atau menaiki bot laju dari Jeti Umbai. Perjalanan dengan feri berjadual manakala bot laju masa perjalanan pergi dan balik bergantung kepada pasang surut laut. Berita baiknya, anda boleh menetapkan masa sendiri.
Banyak aktiviti yang boleh dilakukan di Pulau Besar, selain mengabadikan foto di pantainya yang bersih dan pasir yang putih halus, anda juga boleh berenang di laut yang biru, memancing dan menyaksikan keindahan matahari terbit dan terbenam serta beristirehat di jeti sambil menghirup udara segar.
Pulau Besar sering dikaitkan dengan kisah mistik dan lagenda tersendiri. Ia adalah tempat bersejarah terutama berkaitan dengan kisah awal penyebaran Islam di Nusantara. Ini kerana Melaka pada akhir abad ke-15 dan awal abad ke-16 merupakan empayar tersohor di nusantara dan merupakan pusat penyebaran Islam.
Anda juga boleh menziarahi makam bersejarah. Antaranya seperti Makam Sultanul Ariffin Sheikh Ismail, Makam Syarifah Rodziah, Makam Tok Janggut dan Makam Tok Putih. Makan Sultanul Al-Arifin terletak berdekatan masjid yang boleh anda singgah untuk solat. Sultanul Al-Arifin adalah seorang tokoh yang tinggi ilmu agamanya. Beliau telah mengembara ke Pulau Besar untuk mendalami ilmu agamanya.
Sebuah makam biru yang dinamakan Makam Syarifah Rodziah atau nama sebenarnya Syarifah Habsah iaitu seorang wali perempuan terdapat di sini. Makam ini terletak berdekatan pintu masuk ke kawasan surau dan Makam Sultanul Al-Arifin. Syarifah Habsah adalah puteri kepada Sultanul Al-Arifin As Sayyid Ismail iaitu seorang yang tinggi agamanya dan disegani ramai.
Bagi yang gemar melakukan aktiviti kembara hutan, di sinilah tempat yang sesuai. Anda juga boleh menerokai kawasan pulau ke tempat-tempat seperti perigi di kaki pulau, batu belayar atau batu penambat kapal, batu tengkorak, pokok disula, tasik biawak, batu belah dan keramat masin tawar. Begitu juga dengan gua yunus, keramat ular, makam nenek kebayan, perigi tempayan pecah, makam tujuh beradik, makam seribu, makam nisan satu, perigi nenek musallimah, tapak kaki Sultanul Aarifeen, batu lesung dan perkampungan bunian.
Terdapat sebuah muzium di dalam pulau ini iaitu Muzium Pulau Besar. Pelbagai hasil sejarah yang mampu merungkai misteri pulau dipamerkan. Pengunjung dikenakan tiket untuk masuk ke muzium ini. Selamat bercuti.