Kita dan sujud syukur kepada Allah SWT
8 Sep 2020Ciri-ciri perbualan yang anda perlu tahu
9 Sep 2020Antara naluri juga tanggungjawab utama seorang ibu atau bapa dalam membesarkan anak-anak kita ialah memelihara dan memastikan keselamtan mereka. Adalah jelas bahawa tugas untuk menyelamatkan anak-anak kita dengan menjauhkan mereka dari perkara yang membahayakan sangat besar di atas bahu kita semua.
Namun, pernahkah kita terfikir apakah sebenarnya perkara yang paling membahayakan anak-anak kita? Tentunya antara bahaya yang selalu terlintas di minda kita ialah pencuri, penjenayah atau penjahat yang menakutkan seperti yang sering ditayangkan dalam filem-filem aksi di layar TV.
Ya, tidak kita nafikan bahawa mereka di atas ini memang bahaya. Keselamatan fizikal anak-anak kita tentunya antara keutamaan besar dalam senarai tanggungjawab kita sebagai penjaga atau ibu-bapa. Tetapi ada antara perkara yang membahayakan sebenarnya datang dari batang tubuh anak-anak kita sendiri, iaitu lidah, sekiranya anggota badan istimewa anugerah Ilahi ini tidak disulami dengan adab dan akhlak yang mulia.
Lidah yang sering menuturkan kata keji dan lucah hanya mengundang kebencian dan marah. Lidah yang tidak kering dengan kata nista tidak akan selamanya menghadirkan bahagia, samada buat mereka yang mendengarnya mahupun anak-anak yang mengucapkannya. Lidah yang dibasahi dengan celuparnya kata bukan hanya mendatangkan bahaya dan sengketa di dunia, tetapi juga seksaan yang jauh lebih perit di akhirat sana.
Lidahlah yang merupakan antara anggota badan manusia yang paling banyak menghumbankan manusia ke neraka, seperti yang telah kita pelajari dalam hadis nabawi. Tetapi, wajar kita sedar dan menyedarkan anak-anak kita bahawa lidah jualah yang, jika baik tuturan katanya, akan selalu basah dengan zikir dan doa memohon kebaikan dunia dan akhirat, juga keampunan buat kedua-ibu bapa mereka, selain menyenangkan manusia di sekeliling mereka.
Benarlah sabdaan Nabi Muhammad SAW dalam menakrifkan erti seorang Muslim, seperti yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari r.a, iaitu: “Seorang Muslim itu ialah seorang yang selamat kaum Muslimin yang lain dari lidah dan tangannya.”
Inilah bukti jelas yang telah diajarkan oleh Nabi Muhammad SAW kepada kita bagi menyatakan betapa besarnya pengaruh lidah terhadap keselamatan umat Islam. Semoga lidah atau lisan kita dan anak-anak lunak dengan rahmah dan kebaikan bukan rosak dengan tohmah dan keburukan.
Sumber : Salam Web Today