Assalamu alaika Ya Rasulullah : Pena Hijau

Assalamu alaika Ya Rasulullah

Menjadi Tetamu Allah
5 Feb 2023
ANE 20230312 game prince of persia
Game Prince of Persia
12 Mar 2023
Menjadi Tetamu Allah
5 Feb 2023
ANE 20230312 game prince of persia
Game Prince of Persia
12 Mar 2023
icon follow us

Selesai menjadi tetamu Allah, kami meneruskan permusafiran kami ke Madinah. Perjalanan bas dari Kota Mekah ke Kota Madinah makan masa yang agak lama. Lebih kurang naik bas dari Kota Bharu, Kelantan ke Kuala Lumpur. Dalam pukul 6:30 petang (waktu Arab Saudi), kami berhenti makan dan rehat di Restoran Mohamadie. Makan satu talam untuk lima orang. Kebetulan kami sampai di sini waktu senja. Pemandangan senja di sini cukup cantik. Maha Suci Allah…

Selesai makan, kami teruskan perjalanan menuju ke Madinah. Dalam pukul 9:30 malam, kami tiba di Hotel Al-Saha, Madinah Al-Munawwarah. Ahlan wa sahlan ila Madinatul Munawwarah. Kota yang banyak peninggalan sejarah perjuangan Nabi SAW. Fuh.. boleh tahan sejuk Madinah sekarang… Masing-masing dah penat, malam ni cuma tidur je.

Hari pertama di Madinah seawal jam 8:00 pagi [Gambar 360], mutawif kami Ustaz Mahathir membawa kami ziarah sekitar Masjid Nabawi mulai dari pintu pagar nombor 338 [Gambar 360]. Pintu untuk jemaah perempuan solat di dalam masjid adalah pintu bernombor 24 dan 25 manakala jemaah lelaki pintu bernombor 21 dan 22.

Antara tempat dilawati adalah :

  1. Saqifah Bani Sa’idah [Gambar 360]. Selepas kewafatan Rasulullah SAW, berlaku sedikit perselisihan antara orang-orang Muhajirin dan orang-orang Ansar. Masing-masing ada pilihan calon khalifah. Selepas musyawarah dan perbincangan, akhirnya di tempat inilah Saidina Abu Bakar a.s. di baiah dalam syura sebagai khalifah Islam yang pertama.
  2.  Masjid Al-Ghumamah [Gambar 360]. Dalam 500 meter di barat daya Masjid Nabawi. Mungkin ada persoalan kenapa perlu dibina masjid sedangkan dah ada Masjid Nabawi. Sekarang memang nampak dekat sebab bentuk muka bumi dah berubah. Dah rata. Kalau zaman nabi dulu, bentuk muka bumi berbukit-bukit. Jalan kaki tak sampai 10 minit dari Masjid Al-Ghumamah ke Masjid Nabawi sekarang. Mungkin pada zaman nabi SAW jarak perjalanan lagi jauh. Mengikut sejarah, masjid ini tempat terakhir Nabi Muhammad SAW sembahyang hari raya dan sembahyang sunat istisqa’ (meminta hujan). Anas bin Malik RA meriwayatkan dalam sebuah hadis,
    Pada suatu ketika di zaman Nabi, terjadi musim kemarau. Ketika Nabi SAW membaca khutbah Jumaat, tiba-tiba seorang Arab dusun berdiri dan berkata: Ya, Rasulullah! Harta benda telah binasa dan rakyat kelaparan. kerana itu mendoalah kepada ALLAH SWT untuk kita semua. Maka, Nabi pun berdoa dengan mengangkat kedua belah tangannya. Ketika Nabi mula berdoa kami tidak menampak awan sedikit pun di langit. Demi ALLAH yang diri ku dalam kekuasaan-NYA, belum sampai Nabi menurunkan tangannya, awan mendung telah kelihatan bergulung-gulung seperti bukit. Nabi SAW belum turun dari mimbar, namun hari telah hujan, sehingga kelihatan air hujan bertitikan dari janggut baginda. Hujan lebat turun pula hari itu, esok, lusa dan seterusnya beberapa hari berikutnya sampai hari Jumaat pula. Arab dusun itu atau mungkin juga Arab yang lain berdiri dan berkata pula: “Ya, Rasulullah! Bangunan-bangunan telah roboh dan harta benda telah habis tenggelam. kerana itu mendoalah kepada Allah (mohon diselamatkan). Nabi mengangkat kedua belah tangannya dan mendoa: “Ya, ALLAH! Di sekitar kami saja dan jangan di atas kami.” Beliau menunjuk dengan tangannya ke suatu penjuru berawan, maka kelihatan, awan itu menyingkir. Di atas kota Madinah kelihatan lingkaran-lingkaran seperti lubang yang bundar. Lembah-lembah padang pasir mengalirkan air selama sebulan. Setiap orang yang datang dari segenap penjuru memberitakan kemurahan yang melimpah-ruah.” (Hadis riwayat al-Bukhari)
  3. Masjid Abu Bakar. Letaknya 40 meter dari Masjid Al-Ghumamah. Rasulullah SAW pernah solat hari raya di sini. Ada yang mengatakan, masjid ini dahulunya adalah rumah Saidina Abu Bakar As-Siddiq. Wallahu’alam.
  4. Masjid Ali bin Abi Talib. Rasulullah SAW juga pernah solat hari raya di sini. Ada yang mengatakan, masjid ini dahulunya adalah kediaman Saidina Ali bin Abi Talib. Wallahu’alam.
  5. Luar bangunan Masjid Nabawi yang berkubah hijau [Gambar 360]. Di sinilah adanya makam Nabi SAW dan dua orang sahabatnya iaitu Saidina Abu Bakar r.a. dan Saidina Umar r.a. Ustaz Mahathir maklum kepada kami yang permit untuk masuk ke Raudhah belum lagi diterima. Jadi bersabar lah dan berdoa agar dapat masuk dalam masa terdekat.

Hari kedua, sepatutnya hari ni ada ziarah sekitar kota Madinah tapi petang semalam ustaz maklum dah dapat permit untuk masuk ke Raudhah. Jemaah perempuan pada waktu pagi manakala jemaah lelaki selepas zohor. Mak, Tie, Mira & Alya satu group pagi.

Kami yang lelaki group petang [Gambar 360]. Selesai solat zohor, ramai jemaah lelaki beratur nak masuk Raudhah [Gambar 360][Video 360]. Ada group dari Indonesia, India dan lain-lain. Yang curi-curi masuk tanpa permit dengan menyelit pun ada. Askar nak tahan pun dah tak dapat. Alhamdulillah, kami dapat diberi peluang solat sunat di Raudhah dan sampaikan salam terus kepada Nabi SAW dan sahabat-sahabatnya [Video 360]. Kalau atas dunia ni pun dah susah nak ziarah makam Rasulullah SAW, agak-agak macam mana la kat Padang Mahsyar nanti kita nak cari Nabi Muhammad SAW untuk dapatkan syafaat baginda dengan himpunan manusia sejak Nabi Adam AS lagi… Keluar dari Raudhah, kami ambil jalan pintas dengan masuk ke dalam Masjid Nabawi dan keluar melalui pintu bernombor 20 [Video 360].

Hari ketiga, kami dapat berziarah sekitar Kota Madinah. Semalam lagi ustaz dah pesan, sebelum ziarah hari ini perlu siap-siap berwudhuk kerana akan berziarah ke Masjid Quba. Antara tempat-tempat ziarah kami hari ini adalah

  1. Masjid Quba’ [Gambar 360][Video 360]. Masjid ni jaraknya dalam 4.8km dari Masjid Nabawi. Inilah masjid pertama yang dibina oleh Rasulullah dan para sahabat ketika baru tiba di Madinah. Masjid Quba’ adalah masjid keempat paling suci selepas Masjidil Haram, Masjid Nabawi dan Masjidil Aqsa. Rasulullah SAW bersabda,
    قَالَ سَهْلُ بْنُ حُنَيْفٍ: قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : مَنْ تَطَهَّرَ فِي بَيْتِهِ، ثُمَّ أَتَى مَسْجِدَ قُبَاءَ، فَصَلَّى فِيهِ صَلَاةً كَانَ لَهُ كَأَجْرِ عُمْرَةٍ.
    Ertinya : “Dari Sahl bin Hunaif bahawa Rasulullah SAW bersabda  : Barangsiapa telah bersuci (mengambil wuduk) di rumahnya, dengan sebaik-baik wuduk, kemudian mendatangi Masjid Quba’ lalu solat di dalamnya dua rakaat, maka baginya sama dengan pahala umrah” (HR Tirmidzi dan Ibn Majah).
  2. Masjid Qiblatain. Masjid yang mempunyai 2 arah kiblat. Mihrab yang terbina kedua-duanya saling berhadapan di antara satu sama lain. Kiblat pertama menghadap ke arah utara iaitu tempat terletaknya Masjid Al-Aqsa (Baitul Maqdis) di Jerusalem (Palestin) manakala kiblat kedua adalah menghadap ke arah selatan iaitu tempat terletaknya Kaabah (Baitullah) di Mekah Al-Mukarramah. 17 Rejab tahun 2 Hijrah, Rasulullah SAW sedang mendirikan solat bersama-sama para sahabat berkiblatkan Masjid Al-Aqsa dan turun wahyu (Surah Al-Baqarah : 144). Mendengarkan wahyu tersebut, lantas Baginda SAW menukar arah kiblat menghadap ke arah Baitullah dan para sahabat mengikuti perbuatan Baginda SAW tersebut. Sejak daripada peristiwa tersebut, kiblat umat Islam telah bertukar ke arah Kaabah (Baitullah) yang terletak di Mekah sehingga kini.
  3. Masjid Sab’ah/Khandaq [Gambar 360]. Di sinilah berlakunya Perang Khandaq atau Perang Al-Ahzab pada bulan Syawal tahun ke5 hijrah. Nabi SAW menerima pandangan daripada Salman Al-Farisi yang memberi cadangan untuk menggali parit sebagai pertahanan. Terdapat tujuh masjid yang mana asalnya merupakan kubu pertahanan ketika Perang Khandaq. Rasulullah SAW pernah bermalam di kubu-kubu pertahanan tersebut. Kubu-kubu ini kemudian berkembang menjadi masjid-masjid kecil yang dinamakan dengan nama sahabat-sahabat yang menjaga kubu berkenaan. Antaranya Masjid Salman al-Farisi, Masjid Abu Bakar As-Siddiq, Masjid Umar, Masjid Osman, Masjid Ali, Masjid Saad bin Muadz dan Masjid Fatah. Dari ketujuh masjid ini, Masjid Fatah (Masjid Kemenangan) memiliki peranan sangat mulia. Sebab, di masjid inilah Rasulullah SAW memimpin kaum Muslimin dalam menghadapi pasukan Quraisy. Di lokasi ini juga Rasulullah SAW berdoa selama tiga hari berturut-turut hingga Allah SWT pun mengabulkan doa Rasulullah SAW melalui kedatangan Malaikat Jibril pada hari Rabu. Jibril datang membawa berita kemenangan (al-Fath) kaum Muslimin atas tentara sekutu. Hari ini, hanya Masjid Fatah sahaja yang berfungsi. Parit yang digali juga telah tiada kerana telah dibuat jalan raya.
  4. Ladang kurma Aryaf Taibah. Dalam 5km dari Masjid Nabawi dan berhampiran dengan Jabal Uhud. Merupakan sebuah ladang kurma di yang terdapat taman yang indah di dalamnya dan banyak pepohonan kurma. Pelbagai pilihan kurma, manisan, kekacang ada dijual di sini. Orang jual bakso pun ada. Sedap makan panas-panas di musim-musim sejuk ni. Tapi harga dia SR20. 😀
  5. Ada satu lagi ladang kurma yang diziarah [Gambar 360]. Lupa nama ladang tu. Kat ladang ni lagi ramai orang memborong kurma, manisan dan kekacang.. Full house. Skali lagi bakso pun ada dijual kat sini.. 😀
  6. Jabal Uhud [Gambar 360][Video 360]. Setinggi 1077 meter dari aras laut dan sepanjang 7km. Dinamakan uhud yang bererti bersendiri iaitu bukit ini tidak bersambung dengan banjaran gunung yang lain. Rasulullah SAW bersabda :
    Bukit Uhud adalah salah satu dari bukit-bukit yang ada di syurga” (HR Bukhari).
    Di sini terdapatnya kubur Saidina Hamzah. Terkenal dengan gelaran singa Allah. Juga merupakan bapa saudara Nabi SAW yang syahid dalam Perang Uhud yang terjadi pada bulan Syawal tahun ke3 hijrah. Nabi menggelar Saidina Hamzah sebagai penghulu para syuhada. Dalam peperangan tersebut, kaum muslimin sebenarnya telah mendapatkan kemenangan dan kaum musyrikin sudah mula lari untuk berundur. Namun, para pemanah Muslimin yang berada di atas Gunung Arrimah tergoda melihat barang-barang berharga yang ditinggalkan oleh kaum musyrikin. Dan akhirnya, para pemanah ini meninggalkan posisi mereka. Mereka turun dari bukit hingga lupa pesan Rasulullah SAW agar mereka tidak meninggalkan bukit tersebut. Semuanya turun kecuali panglima Abdullah bin Jabir dan 6 orang pemanah. Kesannya, Khalid bin Walid (panglima musyrikin sebelum memeluk Islam) memanfaatkan situasi tersebut membawa pasukan datang dari arah belakang pasukan Islam dan pasukan kaum muslimin hampir mengalami kekalahan. Dalam peperangan ini, Rasulullah juga megalami kecedaraan sehingga patah gigi baginda.

Malam tu, pihak Andalusia menaja makan malam kami di Aryaf Taibah [Gambar 360]. Makan Nasi Mandi Kambing.

Malam tu juga, kami mendapat perkhabaran mengejut dari Kelantan. Bapa saudara kepada isteri, Ustaz Yusof bin Said telah kembali ke rahmatullah. Setahu kami, beliau sihat je. Cuma petang tu, dimaklumkan selepas berkebun beliau mengadu sakit perut, cirit birit dan muntah. Pagi tu sebelum cucunya (Amir) yang dijaga sejak kecil pergi untuk ke tempat pengajian, beliau sempat berpesan kepada Amir agar Amir dan orang lain juga sabar dan tabah andainya terjadi apa-apa hari ni. Seolah-olah beliau dah tahu masanya atas dunia ni hampir tamat. Alfatihah…

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ ١ ٱلْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلْعَـٰلَمِينَ ٢ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ ٣ مَـٰلِكِ يَوْمِ ٱلدِّينِ ٤ إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ ٥ ٱهْدِنَا ٱلصِّرَٰطَ ٱلْمُسْتَقِيمَ ٦ صِرَٰطَ ٱلَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ غَيْرِ ٱلْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلَا ٱلضَّآلِّينَ ٧

Hari keempat, pihak Andalusia adakan ceramah, bacaan Yasiin, majlis tahlil dan bacaan doa di Hotel Nozol. Kesempatan itu, kami kirimkan nama-nama ahli keluarga kami yang dah berada di negeri abadi juga doa-doa khusus untuk kesihatan kami, anak-anak kami, jodoh kami dan lain-lain di bumi Madinah. Pihak Andalusia juga bagi taklimat berkenaan proses checkout hotel dan hal-hal berkaitan perjalanan pulang ke tanah air keesokan hari.

Petang tu, oleh kerana tiada aktiviti ziarah, kami ambil peluang untuk “melontar” di kedai-kedai kain [Gambar 360]. Malam tu sempat la kemaskan bagasi sebab bagasi perlu settle sebelum pukul 10 pagi esok.

Hari kelima, lepas settle bagasi untuk dikumpulkan satu tempat, kami keluar melontar lagi untuk kali terakhir di kedai-kedai cenderahati. Cari keychain untuk anak-anak buah. Pukul 12 tengahari, checkout hotel. Selesai solat Zohor di Masjid Nabawi, kami makan tengahari di Hotel Nozol. Lepas makan, kami iktikaf di Masjid Nabawi sambil menunggu solat Asar jam 3 lebih. Lepas solat Asar, kami baca doa ziarah wada’ yang ada dalam buku Panduan Umrah Dan Ziarah Madinah Dan Makkah yang disusun oleh Dato’ Ustaz Haji Md. Daud bin Che’ Ngah.

Ziarah Wada’ sebagai ucapan selamat tinggal kepada Rasulullah SAW tanda menghormatinya dan keluar meninggalkan Madinah Al-Munawwarah dengan harapan dapat berziarah lagi di Kota Mekah dan Kota Madinah.

Pukul 4 lebih, kami bertolak ke airport. Perjalanan bas dari Masjid Nabawi ke Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammed Bin Abdulaziz, Madinah ambil masa dalam 15 minit je. Di airport Madinah, kami ambil peluang bergambar bersama mutawif kami. Pihak Andalusia juga ada sediakan bekalan untuk makan malam ni memandangkan penerbangan kami pada pukul 9 malam. Settle urusan check in bagasi dan dapatkan tiket penerbangan di kaunter, kami solat jama’ Maghrib dan Isya’ di Masjid airport yang ada kat luar bangunan. Cantik masjidnya [Gambar 360].

Masuk dalam kapal terbang.. sayu je hati sebab bakal meninggalkan Madinah. Serius, sepanjang ada kat Mekah dan Madinah langsung tak ingat pun pasal keje. Tenang je hati. Moga-moga kami dapat diberi peluang untuk berkunjung lagi ke Tanah Haram ni bulan depan. Kalau tak bulan depan, tahun depan. Kalau tak tahun depan sekurang-kurangnya sebelum kami menghembuskan nafas kami yang terakhir.. Amiin…

Terima kasih buat ayahanda dan bonda yang menaja umrah kami semua adik beradik termasuk menantu-menantu dan cucu-cucu. Semoga diberi kesihatan yang baik, umur yang panjang dan bermanfaat dan dilimpahi rezeki. Amiin.

p/s : Baru dapat update perjalanan kami di Madinah. Banyak kematian terjadi dalam keluarga kami. 7 Feb kematian bapa saudara sebelah Tie. 13 Feb kematian abang kandung Mira. 16 Feb kematian mak saudara kami. Al-Fatihah buat semuanya.

 

 

alkhudhri
alkhudhri
Semoga artikel ini dapat memberi info kepada pembaca. Penulis sangat mengalu-alukan pembaca untuk memberikan komen, like atau kongsikan di mana-mana media sosial. Terima Kasih.
Assalamu alaika Ya Rasulullah
This website uses cookies to improve your experience. By using this website you agree to our Data Protection Policy.
Read more