Kami Tidak Lupa Palestin
8 Feb 2024Amalan Bulan Syaaban
23 Feb 2024Ibrah Di Sebalik Pertukaran Kiblat | Pejam celik pejam celik, kita telah memasuki bulan Sya’ban yang melakarkan pelbagai peristiwa bersejarah dan mempunyai banyak kelebihannya. Pada bulan ini, berlaku peristiwa pertukaran arah kiblat dari Masjidil Aqsa di Palestin ke Masjidil Haram atau Kaabah di Mekah.
Sebagaimana yang dinyatakan oleh ahli tafsir bahawa Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa sallam ketika berada di Mekah, baginda menghadap ke Masjidil Aqsa dengan menjadikan Kaabah di hadapannya. Namun apabila berhijrah ke Madinah yang terletak di bahagian utara Mekah, baginda terpaksa membelakangkan Kaabah untuk menghadap Masjidil Aqsa, kerana Madinah terletak di antara Mekah di Selatan dan Masjidil Aqsa di Utara. Hal ini mendatangkan rasa tidak senang kepada Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa sallam kerana baginda terpaksa membelakangkan Kaabah yang menjadi kiblat asal para nabi dan rasul sebelum baginda. Hal ini berlanjutan selama 16 bulan sehinggalah Allah subhanahu wa ta’ala menurunkan firman-Nya dalam surah al-Baqarah, ayat 144 :
قَدْ نَرَىٰ تَقَلُّبَ وَجْهِكَ فِى ٱلسَّمَآءِ ۖ فَلَنُوَلِّيَنَّكَ قِبْلَةًۭ تَرْضَىٰهَا ۚ فَوَلِّ وَجْهَكَ شَطْرَ ٱلْمَسْجِدِ ٱلْحَرَامِ ۚ وَحَيْثُ مَا كُنتُمْ فَوَلُّوا۟ وُجُوهَكُمْ شَطْرَهُۥ ۗ وَإِنَّ ٱلَّذِينَ أُوتُوا۟ ٱلْكِتَـٰبَ لَيَعْلَمُونَ أَنَّهُ ٱلْحَقُّ مِن رَّبِّهِمْ ۗ وَمَا ٱللَّهُ بِغَـٰفِلٍ عَمَّا يَعْمَلُونَ ١٤٤
“Kerap kali Kami melihat engkau (wahai Muhammad), berulang-ulang memandang ke langit, maka Kami benarkan engkau berpaling mengadap kiblat yang engkau sukai. Oleh itu palingkanlah mukamu ke arah masjid Al-Haraam (tempat letaknya Kaabah); dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya. Dan sesungguhnya orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah diberikan Kitab, mereka mengetahui bahawa perkara (berkiblat ke Kaabah) itu adalah perintah yang benar dari Tuhan mereka; dan Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang mereka lakukan”
Perubahan kiblat merupakan peristiwa nasakh atau perubahan hukum yang pertama berlaku dalam Islam. Ketetapan ini menjadi ujian kepada keimanan kaum muslimin dan keyakinan mereka terhadap wahyu Ilahi. Bagi golongan yang lemah iman, mereka mempertikaikan perubahan hukum yang berlaku dan mempersoalkan rasionalnya. Allah subhanahu wa ta’ala ingin menguji sejauh manakah kepatuhan mereka terhadap arahan Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa sallam dan menggelar golongan yang mempertikaikan arahan Allah sebagai golongan yang kurang akal. Firman Allah subhanahu wa ta’ala dalam surah al-Baqarah, ayat 142 :
۞ سَيَقُولُ ٱلسُّفَهَآءُ مِنَ ٱلنَّاسِ مَا وَلَّىٰهُمْ عَن قِبْلَتِهِمُ ٱلَّتِى كَانُوا۟ عَلَيْهَا ۚ قُل لِّلَّهِ ٱلْمَشْرِقُ وَٱلْمَغْرِبُ ۚ يَهْدِى مَن يَشَآءُ إِلَىٰ صِرَٰطٍۢ مُّسْتَقِيمٍۢ ١٤٢
“Orang-orang bodoh (yang kurang akal pertimbangannya) akan berkata : ‘Apa sebabnya yang menjadikan orang-orang Islam berpaling dari kiblat yang mereka mengadapnya selama ini?’ Katakanlah (wahai Muhammad) : ‘Timur dan barat adalah kepunyaan Allah – (maka ke pihak mana sahaja kita diarahkan Allah mengadapnya, wajiblah kita mematuhiNya); Allah yang memberikan petunjuk hidayahNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya ke jalan yang lurus'”
Sebagai seorang hamba, setiap individu hendaklah menyatakan kehambaan yang penuh kepada Allah. Setiap arahan dan larangan perlu diikuti dengan semampu boleh tanpa sebarang rasa tidak puas hati atau pertikaian. Inilah hakikat ubudiyyah yang ingin diuji oleh Allah dalam peristiwa peralihan kiblat tersebut.
Allah subhanahu wa ta’ala menjadikan kiblat umat Islam kesemuanya menghadap ke Kaabah di Mekah. Kesatuan kiblat ini bukannya perkara yang sia-sia dan tiada makna, bahkan hal ini melambangkan konsep kesatuan umat Islam yang datang daripada pelbagai bangsa, warna kulit, bahasa dan tempat. Kesemuanya menyembah Tuhan Yang Satu, bersolat dengan solat yang sama dan berkiblat dengan kiblat yang satu. Allah subhanahu wa ta’ala inginkan bahawa umat akhir zaman ini bersatu agar dapat membawa kejayaan dalam memakmurkan dunia mengikut syariah Allah subhanahu wa ta’ala. Sebarang bentuk pertelingkahan wajiblah dijauhi apatah lagi berkaitan dengan agama dan ketaatan terhadap suruhan Allah. Sabda Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa sallam sebagai memberi pesanan kepada umat baginda yang bermaksud :
“Sesungguhnya musnahnya umat-umat sebelum kamu adalah kerana mereka bertelingkah pada al-kitab yakni wahyu Allah”
(Hadis Riwayat Muslim)
Mana-mana pertelingkahan yang membawa kepada perpecahan umat Islam hendaklah dijauhi dan dihindarkan. Antara langkah pertama yang perlu dilakukan ialah dengan mengukuhkan kesatuan melalui penyempurnaan saf solat. Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa sallam bersabda yang bermaksud :
“Hendaklah kamu membetulkan saf solat kamu, atau Allah akan menjadikan kamu berpecah belah”
(Hadis Riwayat Muslim)
Maka setiap daripada kita hendaklah mengambil berat tentang kesempurnaan saf. Pastikan saf hadapan dipenuhi oleh orang dewasa dan
saf kanak-kanak di belakang orang dewasa. Ahli jemaah yang membawa anak kecil, hendaklah berada di bahagian tepi atau belakang bersama anak-anak agar tidak mengganggu jemaah lain ketika sedang solat.
Antara ibrah yang dapat dipelajari daripada peristiwa ini juga ialah perkaitan Masjidil Aqsa dan Masjidil Haram. Agama Islam merupakan agama yang benar-benar datang daripada Allah, Tuhan sekalian alam yang mengutuskan para rasul semenjak daripada Nabi Adam ‘alaihi salam hingga ke Nabi Muhammad shollallahu ‘alaihi wa sallam. Bahkan syariat dan tempat-tempat suci di sisi umat Islam berkait rapat dengan tempat-tempat para rasul dan nabi terdahulu.
Hakikat ini perlu diyakini oleh umat Islam hari ini agar mereka sentiasa mengambil berat tentang tinggalan sejarah dan tempat suci mereka. Kini, Masjidil Aqsa secara khusus masih berada dalam penguasaan Zionis yang zalim dan menindas penduduk asal di Palestin. Sebagai saudara seagama dan orang yang menghormati hak asasi manusia, perbuatan rejim Zionis terhadap umat Islam dan penduduk Palestin wajar dikritik dan dikecam dengan sehabis-habisnya. Kiriman doa dan bantuan yang mampu disampaikan perlu sentiasa diberikan dan tidak sekadar waktu bermusim sahaja. Moga-moga dengan sedikit usaha kita ini akan dipandang oleh Allah serta menjadi asbab kemenangan kaum muslimin di sana.
Sebagai kesimpulannya, marilah kita kembali dengan sifat kehambaan di bawah lembayung syariat Islam dan mengukuh saf perpaduan sebagaimana yang dianjurkan oleh agama kita. Ambillah iktibar dalam peristiwa perubahan kiblat agar kita berubah menjadi umat yang
bersatu di bawah qiblat yang satu dan berlumba-lumba menjadi umat yang terbaik.