Peristiwa Isra' dan Mi'raj Penghayatan Sepanjang Zaman : Pena Hijau

Peristiwa Isra’ dan Mi’raj Penghayatan Sepanjang Zaman

masa
Masa Hidup Di Dunia Hanya Sekali
3 Feb 2022
jasmani bersifat sementara
Jasmani Bersifat Sementara
27 Feb 2022
masa
Masa Hidup Di Dunia Hanya Sekali
3 Feb 2022
jasmani bersifat sementara
Jasmani Bersifat Sementara
27 Feb 2022
isra' dan mi'raj
icon follow us

Rejab merupakan bulan yang sinonim dengan peristiwa Isra’ dan Mi’raj. Satu perjalanan malam Nabi Muhammad SAW secara ruh dan jasad dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa, sebelum dinaikkan ke langit, sebagaimana terakam dalam al-Quran dan Hadis. Peristiwa ini benar-benar berlaku secara mutawatir yang tidak boleh disangkal lagi. Ini bermakna sesiapa yang mengingkari peristiwa ini boleh membawa kepada kekufuran. Firman Allah SWT dalam Surah an-Najm, ayat 11-12 :

مَا كَذَبَ ٱلْفُؤَادُ مَا رَأَىٰٓ
أَفَتُمَـٰرُونَهُۥ عَلَىٰ مَا يَرَىٰ

“Hati (Nabi Muhammad) tidak mendustakan apa yang dilihatnya [11] Patutkah kamu hendak membantahnya mengenai apa yang telah dilihatnya itu? [12]”

Peristiwa Isra’ dan Mi’raj merupakan antara mukjizat terbesar Rasulullah SAW selepas Al-Quran. Firman Allah SWT dalam Surah al Isra’ ayat 1 :

سُبْحَـٰنَ ٱلَّذِىٓ أَسْرَىٰ بِعَبْدِهِۦ لَيْلًا مِّنَ ٱلْمَسْجِدِ ٱلْحَرَامِ إِلَى ٱلْمَسْجِدِ ٱلْأَقْصَا ٱلَّذِى بَـٰرَكْنَا حَوْلَهُۥ لِنُرِيَهُۥ مِنْ ءَايَـٰتِنَآ ۚ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلْبَصِيرُ

“Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidil Haram (di Makkah) ke Masjidil Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat.”

Isra’ merupakan perjalanan baginda SAW dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa dengan menunggang buraq. Mi’raj pula merujuk kepada perjalanan Nabi dari Masjidil Aqsa hinggalah ke langit ketujuh mengadap Allah SWT setelah melepasi Sidratul Muntaha. Baginda SAW turut menyaksikan pelbagai tanda kebesaran pemerintahan dan fenomena keajaiban kuasa Allah SWT.

Ia berlaku setahun atau lebih sebelum hijrah Nabi Muhammad SAW ke Madinah al-Munawwarah, akibat tekanan keras dan hinaan kuat yang dihadapi oleh Rasulullah SAW dan para sahabat. Menurut Syeikh Muhammad al Ghazali :

“Isra’ dan Mi’raj berlaku hampir di tengah-tengah perjalanan kerasulan yang masa keseluruhannya 23 tahun. Dengan demikian, ianya menjadi rawatan menyapu luka keletihan dan kepenatan masa lampau, dan ianya juga adalah benih dan bijian yang ditabur tanamannya untuk dituai hasil kejayaaan pada masa mendatang.”

Terbukti bahawa peristiwa Isra’ dan Mi’raj telah membuahkan Bai’ah al-‘Aqabah, Hijrah dan tampuk pemerintahan di Kota Madinah, serta kemenangan yang berterusan di medan jihad sepanjang hayat Rasulullah SAW dan selepas kewafatan dengan pembukaan empayar-empayar besar dunia yang meluas.

Peristiwa Isra’ dan Mi’raj adalah satu pelepasan dari kesempitan yang dialami baginda Nabi SAW disebabkan perancangan jahat musuh yang mengepung pergerakan baginda SAW di Mekah dan Taif. Sebelum Surah al Isra’, di penghujung Surah al Nahl ayat 127, Allah SWT berfirman :

وَٱصْبِرْ وَمَا صَبْرُكَ إِلَّا بِٱللَّهِ ۚ وَلَا تَحْزَنْ عَلَيْهِمْ وَلَا تَكُ فِى ضَيْقٍ مِّمَّا يَمْكُرُونَ

“Dan bersabarlah (wahai Muhammad terhadap perbuatan dan telatah golongan yang ingkar itu); dan tiadalah berhasil kesabaranmu melainkan dengan (memohon pertolongan) Allah; dan janganlah engkau berdukacita terhadap kedegilan mereka, dan janganlah engkau bersempit dada disebabkan tipu daya yang mereka lakukan.”

Perisitiwa ini juga adalah membuktikan bahawa Allah SWT tidak sesekali meninggalkan kekasihnya terutamanya Rasullah SAW, penghulu sekalian anbia’, dalam apa jua keadaan. Menutup Surah al Nahl, ayat 128 Allah SWT berfirman :

إِنَّ ٱللَّهَ مَعَ ٱلَّذِينَ ٱتَّقَوا۟ وَّٱلَّذِينَ هُم مُّحْسِنُونَ

“Sesungguhnya Allah beserta golongan yang bertaqwa, dan golongan yang beramal ihsan.”

Peristiwa Isra’ dan Mi’raj bukanlah sejarah yang mati, bahkan Ia sentiasa hidup segar dan berdenyut nadi di dalam saraf kehidupan umat sepanjang zaman. Penghayatan terhadap pengajaran dan pelajaran merentasi sempadan masa dari peristiwa agung ini dirumuskan seperti mana berikut :

  1. Mengakui Kebesaran Allah Dan Kehebatan Kerajaan Nya. Allah telah memperlihatkan kepada Rasulullah SAW keagungan kerajaan Nya yang luas, melepasi segala perbatasan dan sempadan. Peristiwa ini mendidik manusia untuk merasa diri kerdil di hadapan keagungan kuasa Allah SWT dan mengakui hakikat kelemahan diri sebagai hamba Allah yang sentiasa bersedia untuk berbakti, mengambil contoh tauladan dari sifat perhambaan (‘ubudiyyah) Rasulullah SAW.
  2. Kepentingan Solat Fardhu Lima Waktu. Rasulullah SAW telah menerima perintah solat fardhu secara langsung dari Allah tanpa perantaraan. Ini menunjukkan keistimewaan, kelebihan dan ketinggian ibadah solat berbanding ibadah yang lain. Solat adalah mi’raj (hubungan langsung dengan Allah SWT) bagi setiap mu’min sepanjang hayat.
  3. Baitul Maqdis Adalah Harta Umat Islam. Bumi palestin adalah bumi barakah yang menjadi tempat pilihan Allah untuk berlakunya peristiwa penting berakhirnya al-Isra’ dan bermulanya al-Mi’raj. Ini membuktikan kesucian tanah ini yang dimuliakan Allah dan wajib dipertahankan oleh semua umat Islam sepertimana mereka mempertahankan kesucian Mekah dan Madinah.
  4. Islam Agama Fitrah. Tugas pendakwah Islam adalah mengembalikan umat kepada agama fitrah iaitu Islam, yang memenuhi naluri ciptaan asal kejadian manusia. Ia terbukti ketika Rasulullah SAW memilih untuk meminum susu yang menyihatkan berbanding arak yang memabukkan, yang dihidangkan pada malam bersejarah itu.
  5. Islam Merancakkan Kemajuan Sains Dan Teknologi. Perjalanan bumi dan pelayaran angkasa yang berlangsung melalui peristiwa Isra’ Mi’raj adalah bersifat mukjizat yang mencabar dan mengatasi kemajuan sains dan teknologi moden. Jauh sekali dari meminggir atau memusuhi lapangan ini, sebaliknya Islamlah agama yang membuka ufuk kesedaran untuk meneroka alam yang maha luas ini. Tidak cukup dengan penguasaan alam bumi, digesakan pula untuk menakluki angkasaraya melalui ilmu falak dan astronomi. Melalui sains dan teknologi, manusia akan terpegun dengan ketepatan fakta mukjizat al-Quran dan al-Sunnah serta lebih mendekatkan diri sebagai hamba Allah.
  6. Kemuliaan Institusi Masjid. Kedudukan masjid sebagai rumah Allah yang menerima pengunjungnya sebagai tetamu Allah yang dimuliakan secara sama rata. Masjid juga berperanan sebagai pusat pengembangan dakwah dan sinar hidayah Islam. Keistimewaan ini terbukti apabila Rasullullah SAW diisra’kan bermula dari masjid (Masjidil Haram) dan berakhir juga di masjid (Masjidil Aqsa).
  7. Menjauhi Perkara Mungkar Dan Maksiat. Melalui peristiwa Isra’ dan Mikraj, Rasulullah SAW diperlihatkan suasana syurga dan neraka. Di neraka baginda melihat pelbagai bentuk balasan dan penyiksaan ke atas orang-orang yang ingkar kepada perintah Allah SWT. Ini memberi iktibar kepada kita supaya menjauhi perkara-perkara yang dilarang dan dimurkai oleh Allah.

وَإِذْ قُلْنَا لَكَ إِنَّ رَبَّكَ أَحَاطَ بِٱلنَّاسِ ۚ وَمَا جَعَلْنَا ٱلرُّءْيَا ٱلَّتِىٓ أَرَيْنَـٰكَ إِلَّا فِتْنَةً لِّلنَّاسِ وَٱلشَّجَرَةَ ٱلْمَلْعُونَةَ فِى ٱلْقُرْءَانِ ۚ وَنُخَوِّفُهُمْ فَمَا يَزِيدُهُمْ إِلَّا طُغْيَـٰنًا كَبِيرًا

“Dan (ingatlah) ketika Kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad), bahawa sesungguhnya Tuhanmu meliputi akan manusia (dengan ilmuNya dan kekuasaanNya; dan tiadalah Kami menjadikan pandangan (pada malam Mi’raj) yang telah kami perlihatkan kepadamu melainkan sebagai satu ujian bagi manusia; dan (demikian juga Kami jadikan) pokok yang dilaknat di dalam Al-Quran; dan Kami beri mereka takut (dengan berbagai-bagai amaran), maka semuanya itu tidak menambahkan mereka melainkan dengan kekufuran yang melampau”

(Surah al-Isra’: 60)

alkhudhri
alkhudhri
Semoga artikel ini dapat memberi info kepada pembaca. Penulis sangat mengalu-alukan pembaca untuk memberikan komen, like atau kongsikan di mana-mana media sosial. Terima Kasih.
Peristiwa Isra’ dan Mi’raj Penghayatan Sepanjang Zaman
This website uses cookies to improve your experience. By using this website you agree to our Data Protection Policy.
Read more